Search This Blog

Saturday, January 1, 2011

1.0 KESAN NEGATIF PENEROKAAN HUTAN SEBAGAI KAWASAN PERTANIAN


            Penerokaan hutan untuk tujuan pertanian membawa bersama pelbagai implikasi negatif dan antaranya ialah kemusnahan biodiversiti alam, pencemaran air dan perubahan iklim. Kesan negatif yang lahir daripada penerokaan hutan dan juga pertanian boleh membawa mudarat yang lebih dasyat terhadap kesejahteraan hidup manusia pada masa hadapan sekiranya semua pihak hanya melihat aktiviti penerokaan hutan dan pertanian dalam cerminan keuntungan jangka pendek. Generasi masa hadapan menjadi mangsa yang terpaksa menerima kesan yang ditinggalkan oleh generasi hari ini kepada mereka.  

1.1       Kemusnahan biodiversiti alam
            Penerokaan hutan dalam skala yang besar dan berterusan boleh membawa natijah yang buruk terhadap kewujudan biodiversiti alam. Secara umumnya, biodiversiti atau kepelbagaian biologi merujuk kepada pelbagai jenis bentuk hidupan yang wujud dengan peranan ekologi yang tersendiri di samping kandungan genetik yang pelbagai (FAO, 1989 dalam Global Forest Resource Assessment, 2005). Penerokaan hutan untuk tujuan pertanian bakal memusnahkan biodiversitsi alam secara kekal kerana aktiviti tersebut melibatkan proses penggantian tumbuhan asli hutan kepada tanaman pertanian yang sememangnya mempunyai sifat dan fungsi yang berbeza dengan tumbuhan asli hutan. Para saintis menganggarkan dunia ini menyimpan khazanah biodiversity melebihi 100 juta spesis dan setakat ini hanya lebih kurang 1.4 juta sahaja yang telah dikenal pasti (Kangayatkarasu, 2006). Proses perhutanan yang giat akan menyebabkan kemusnahan spesis hutan secara kritikal bukan sahaja terhadap spesis flora tetapi juga terhadap pelbagai spesis fauna. Menurut E.O Wilson (dalam Kangayatkarasu, 2006), dalam masa sejam sahaja dianggarkan tiga spesis akan pupus kesan daripada aktiviti manusia. Apabila pokok ditumbangkan maka segala khazanah yang ada di bawahnya juga akan turut tumbang.
KUMPULAN
BILANGAN SPESIS
Tumbuhan Berbunga
Lumut dan Rumpair
Mamalia
Burung
Ikan Laut
Ikan Air Tawar
Reptilia
Serangga dan invertebrata

15,000
1,000
285
736
4,000
449
208
150,000

Jadual 2: Biodiversiti di Malaysia
Sumber: Jabatan Alam Sekitar, 2006

Biodiversiti merupakan suatu aspek yang penting kepada manusia kerana ianya menjalankan pelbagai fungsi semulajadi yang boleh memberi keselesaan dan kesejahteraan terhadap hidup manusia. Sebagai contoh, biodiversiti hutan mampu membekalkan sumber perkhidmatan kesihatan melalui kepelbagaian etnobotani. Kebanyakan ubat-ubatan yang wujud pada hari ini adalah merupakan sumbangan besar daripada biodiversiti hutan tropika (Humphreys, 1996). Hal ini boleh dilihat melalui tumbuhan ‘rosy periwinkle’ yang mempunyai keupayaan untuk menjadi agen anti-kanser (Humphreys, 1996). Khazanah alam ini berpotensi untuk lenyap sekiranya kegiatan perhutanan tidak dikawal dengan berkesan. Negara-negara Tropika yang memiliki kawasan hutan yang cukup luas telah kehilangan 140 juta hektar hutan dalam tempoh 25 tahun (Abibullah, 1994). Keadaan ini adalah suatu keadaan yang tidak sihat terhadap kelangsungan hidup hidupan hutan malah ianya juga boleh memudaratkan kesejahteraan hidup manusia. Setiap tahun dianggarkan 1.28 juta hektar hutan dihapuskan yang bersamaan dengan 3500 hektar sehari (Abibullah, 1994).  Penerokaan hutan untuk tujuan pertanian akan menyebabkan kemusnahan khazanah alam yang mempunyai manfaat besar bagi kesejahteraan hidup manusia di samping penting dalam mewujudkan keseimbangan ekosistem alam.    
      
1.2       Pencemaran air
            Aktiviri pertanian adalah salah satu agen pencemaran air yang amat kritikal. Pencemaran air akibat aktiviti pertanian boleh dijelaskan menerusi dua dimensi yang berbeza. Menurut Ongley (1996), dua dimensi tersebut ialah:
 PHYSICAL DIMENSION - top soil loss and land degradation by gullying and sheet erosion and which leads both to excessive levels of turbidity in receiving waters, and to off-site ecological and physical impacts from deposition in river and lake beds.

 CHEMICAL DIMENSION - the silt and clay fraction (<63m m fraction), is a primary carrier of adsorbed chemicals, especially phosphorus, chlorinated pesticides and most metals, which are transported by sediment into the aquatic system.
Penebangan pokok untuk tujuan pertanian akan mengakibatkan berlakunya pencemaran air melalui dimensi fizikal iaitu air hujan yang turun akan mengalir terus tanpa sekatan ke dalam sungai bersama kelodak atau lumpur yang menyebabkan air sungai menjadi keruh dan cetek. Hal ini juga boleh mengundang bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Fungsi hutan sebagai kawasan tadahan hujan tidak mampu diambil alih oleh tanaman pertanian yang mengakibatkan ekosistem sungai terjejas dengan beban fizikal dan kimia yang datang dari amalan pertanian yang giat. Keperluan nutrien untuk tumbesaran dan kesuburan tanaman telah memberi galakan kepada petani untuk mengambil baja kimia dan racun serangga untuk memastikan kualiti tanaman meraka berada dalam keadaan yang memuaskan. Keadaan ini memberi pengaruh yang cukup bahaya terhadap sungai atau sumber air di kawasan sekitar yang terpaksa menerima larian air yang mengandungi bahan kimia berbahaya. Sebagai contoh, baja nitrat yang digunakan oleh petani boleh menyumbang kepada pencemaran ammonia terhadap sungai (Salina Abdullah, Berita harian, 8 September 2003). Menurut Maheshwaran (1982, dalam Haliza, 2007), kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa lebih dari sejuta kilogram sisa buangan masuk ke dalam sungai setiap hari akibat daripada kumbahan, industri kelapa sawit dan industri getah.
Selain daripada kegiatan menanam, kegiatan penternakan juga merupakan salah satu aspek yang terdapat dalam kegiatan pertanian. Kegiatan penternakan juga mampu menyumbang kepada pencemaran air. Hal ini berlaku apabila bahan kimia yang terdapat dalam najis ternakan menyerap masuk ke dalam sungai atau sumber air. Sebagai contoh, sungai Sembah dan sungai Selangor di Selangor didapati telah tercemar oleh ammonia, bakteria T Coliform, parasit Helminith, dan logam berat (zink, kuprum, plumbum, dan kadmium)  yang dihasilkan oleh ternakan babi di kawasan sekitar kawasan berkenaan (Salina Abdullah, Berita harian, 8 September 2003). Kajian yang dijalankan menunjukkan paras ammonia di Sungai Sembah meningkat daripada 0.65 mg/L pada tahun 2002 kepada 1.290mg/L pada tahun 2003 (Salina Abdullah, Berita harian, 8 September 2003). Hal yang sama turut berlaku di sungai Selagor yang mengalami peningkatan paras ammonia daripada 0.37mg/L pada 2002 kepada 2.1 mg/L pada tahun 2003 (Salina Abdullah, Berita harian, 8 September 2003). Kandungan ammonia yang terdapat di kedua-dua buah sungai berkenaan melebihi paras selamat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu 1.5 mg/L (Salina Abdullah, Berita harian, 8 September 2003). Pencemaran sungai akibat najis babi bukan sahaja menjejaskan hidupan akuatik malah ianya juga menjejaskan kesihatan pengguna sungai berkenaan. Individu yang memakan sumber protein daripada sungai yang dicemari najis babi akan terdedah kepada risiko kerosakan organ dalaman tubuh yang penting seperti buah pinggang, hati, sarat pusat dan saraf pinggir (Salina Abdullah, Berita harian, 8 September 2003).
1.3       Perubahan Iklim
            Perubahan iklim yang berlaku kurun ini sedikit sebanyak disumbangkan oleh kegiatan pertanian yang dijalankan oleh manusia. Penebangan hutan untuk tujuan pertanian telah mengubah proses semulajadi alam yang telah berlangsung jutaan tahun dahulu. Hutan mempunyai peranan yang cukup besar dalam menyederhanakan suhu. Apabila hutan ditebang dan digantikan dengan tanaman pertanian yang mempunyai keupayaan berbeza berbanding  tumbuhan hutan maka peranannya dalam menyederhanakan suhu juga akan turut berubah. Keupayaan hutan untuk mengubah gas karbon dioksida kepada gas oksigen melalui proses fotosintesis akan terjejas ekoran kapasiti hutan lebih kecil berbanding kapasitii karbon dioksida. Hal ini kemudiannya membawa kesan yang lebih kritikal iaitu perubahan iklim global. Kegiatan pertanian mampu mengeluarkan dan memerangkap gas rumah hijau (Krishna Prasad Pant, 2009). Gas rumah hijau adalah elemen penting yang mempengaruhi perubahan iklim secara global. Gas rumah hijau adalah kumpulan gas yang menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa lepas. Karbon dioksida, metana, dan nitrous oksida merupakan antara gas-gas utama yang dilepaskan daripada aktiviti pertanian (Krishna Prasad Pant, 2009). Jumlah pengeluaran gas-gas tersebut bergantung kepada faktor guna tanah, pengurusan tanah, tanaman pertanian, pembajakan, ternakan dan tenaga (Krishna Prasad Pant, 2009). Pengeluaran gas-gas tersebut secara kritikal daripada kegiatan pertanian akan membawa kepada masalah-masalah tertentu yang boleh mempengaruhi iklim disesuatu kawasan.
            Amalan pengurusan tanah pertanian mampu menyumbang 60% daripada pengeluaran nitrous oksida manakala lembu tenusu dan babi menyumbang lebih kurang 85% daripada pengeluaran gas metana dalam kegiatan pertanian (Krishna Prasad Pant, 2009). Peningkatan kandungan gas rumah hijau di atmosfera bakal memberi pengaruh yang kritikal terhadap peningkatan suhu dan peningkatan aras air laut secara global. Menurut Pachauri (2009) iaitu Pengerusi Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), kurun ke-20 menyaksikan penigkatan suhu global sebanyak 0.740 °C dan dan aras air laut pula meningkat sebanyak 17 sentimeter akibat daripada pencairan ais yang  menyebabkan lautan menjadi lebih luas. Keadaan ini jelas membuktikan bahawa iklim dunia mengalami perubahan yang besar dan hal ini boleh membawa pelbagai natijah yang buruk terhadap kesejahteraan hidup manusia dan akan menjejaskan sektor pertanian itu sendiri. 

5 comments: